Jom Buat Baik!!



Sedarkah kita selama ini, bahawa kita sentiasa mendapat kasih-sayang daripada Allah yang tidak berbelah bahagi... Tidak terkira nikmatnya!

Bayangkan, 1 perbuatan jahat yang kita lakukan, Allah tulis 1 saja perbuatan jahat kita. Tapi kalau kita buat baik 1 kali, Allah akan gandakan ia sekurang-kurangnya 10 dan akan berlipat-lipat kali ganda! Inilah anugerah Allah yang tidak mampu kita nak nafikan..

Subhanallah, betapa adilnya Allah. 

Untungnya umat-umat para Nabi terdahulu (sebelum umat Nabi Muhammad) yang dikurniakan usia/jangka hayat yang panjang dan boleh beramal soleh mengumpulkan pahala selama ribuan tahun, tetapi untung lagi kita; umat Nabi Muhammad SAW yang berpeluang untuk menandingi pahala amalan seperti beramal selama ribuan tahun hanya dengan amalan yang dilakukan dengan 'modal' usia/jangka hayat kita yang pendek sahaja...!

Kalaulah Allah tidak menggandakan setiap amalan umat Nabi Muhammad SAW, sudah tentu kita tidak akan mampu menandingi amalan umat-umat yang panjang umurnya. Itulah kelebihan kita; umat Nabi Muhammad SAW. Itulah yang patut kita syukuri dengan sebenar-benar syukur, kerana Allah tidak pernah menzalimi kita, malah Allah kurniakan lagi kasih sayang dan kenikmatan yang tidak pernah akan tamat sehinggalah ke dalam syurga nanti, hatta nikmat yang terrrrrpaling besar yang melebihi syurga dan kenikmatan-kenikmatannya yang paling nikmat di dalamnya; yakni melihat Allah! 

Sudahlah dapat nikmat dilahirkan dalam keadaan Islam, kemudian dapat nikmat berada di dalam ketaatan kepada Allah serta beramal soleh, kemudian setiap amal kebaikan digandakan kepada 10 dan berganda-ganda lebih daripada itu, kemudian mati dalam keadaan husnul khatimah pula, tambah lagi kita 'lulus' semasa dihisab kemudian dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmat Allah, kemudian berpeluang pula melihat Allah di dalam syurga kelak! 

Sangat-sangatlah beruntung...! 

Lalu, mengapa dikejar akan perbuatan maksiat/kejahatan untuk mendapatkan 1 dosa? Mengapa tidak dikejar perbuatan kebaikan yang balasannya berlipat kali ganda? Ingatlah, setiap satu dosa yang dilakukan secara berterusan itu umpama titik-titik hitam yang akan merebak kedalam hati sehingga menyebabkan hati sukar mendapat cahaya kerana hati sudah tertutup kerana kegelapan dosa! 

Agaknya dalam satu hari, berapa banyak dosa yang telah kita lakukan? Adakah kejahatan yang kita lakukan itu lebih banyak daripada amal soleh? Ataupun, adakah kita sudah berusaha untuk menjadikan ia berlaku sebaliknya? Ayuh hisab diri sendiri di dunia sebelum dihisab oleh Allah di akhirat kelak! Mudah-mudahan dengan menghisab diri di dunia, Allah akan masukkan kita ke dalam syurga tanpa hisab. Aamiin!

Kembalilah kepada Allah! Ayuh amalkanlah istighfar. Istighfar itu membersihkan dosa seperti merentasi sebuah sungai yang mengalir deras sehingga menanggalkan segala kekotoran yang ada pada tubuh badan kita. Apabila rasa diri berdosa, tambahkanlah amal kebaikan. Kalau rasa semakin kurang melakukan dosa, perbanyakkan lagi amal-amal kebaikan! Kejar lah, berlumba-lumbalah kamu dalam melakukan kebaikan! Sesungguhnya Allah sentiasa memerhatikan kita, Allah tidak pernah mengabaikan kita, Allah tidak pernah mengajar manusia berputus asa, Allah tidak pernah ajarkan kepada kita bahawa dosa itu melebihi rahmatNya, bahkan rahmatNya melebihi dosa-dosa seluruh makhluk sepanjang zaman meskipun zaman itu berulang-ulang dalam berjuta-juta planet bumi sekalipun tidak akan mengurangkan sedikit pun rahmat Allah yang sangat luas!

Tanyalah pada diri sendiri, wahai saudara-saudaraku yang dirahmati Allah sekalian... Kenapa sekarang kita masih belum sedikitpun berasa beruntung dengan nikmat yang telah Allah beri dengan cukup banyak ini? Sejauh manakah kita zahirkan rasa bersyukur itu?

Ulasan

Catatan Popular